Sivakumar - Undang-Undang Rimba + Komunis


SEMALAM, 8 September 2009 tersiar berita menarik mengenai politik Perak yang masih belum mampu diterima oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Pembangkang tiga parti negeri ini.

Kedua-dua berita itu sudah tentu tidak disenangi oleh mereka yang ‘bermimpi’ bahawa negeri yang dahulunya terkenal dengan hasil bijih timah itu, masih dikuasai pembangkang ‘Tri-Star’. Mereka anggap mereka adalah penguasa negeri yang sah lalu jadi sasau hinggakan tanpa rasa malu mengadakan sidang DUN sendiri di sebuah hotel.

Blog ini tidak mahu komen panjang, cukup sekadar memaparkan berita berkenaan untuk tatapan pengunjung yang masih ada minat dengan perkembangan politik Negeri Perak.

MAHKAMAH TOLAK SAMAN SIVAKUMAR TERHADAP GANESAN

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan saman bekas Speaker Perak, V Sivakumar terhadap penggantinya yang didakwa menyerang dan melakukan pemenjaraan salah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei lalu.

Ketika menolak permohonan itu dengan kos hari ini, Hakim Datuk Azahar Mohamed memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Sivakumar, justeru tidak boleh campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli DUN.

Jika berbuat demikian katanya, ia akan melanggar Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding dalam DUN di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah.
"Ini adalah perkara dalaman dan apa sahaja perkara yang timbul perlu dibincang dan diselesaikan dalam DUN, bukan dalam mahkamah," katanya.

Sivakumar dalam permohonan samannya juga memohon injuksi bagi menghalang R Ganesan dan sesiapa di bawah arahan Ganesan daripada menghalang tugasnya sebagai Speaker dan menghalang daripada menyebabkan kecederaan berterusan terhadapnya.

Hakim Azahar berkata, pada fikirannya, tidak ada sebarang keraguan yang Sivakumar telah dilucutkan daripada jawatan Speaker dengan satu resolusi dan satu lagi resolusi telah diluluskan untuk melantik Ganesan sebagai Speaker pada sidang 7 Mei lalu.

Beliau menambah, tindakan mempersoalkan kesahihan pelucutan Sivakumar adalah mempersoalkan resolusi DUN.
"Saya tidak boleh bersetuju dengan peguam plaintif yang prosiding pada 7 May tidak menentukan siapa yang menjadi Speaker," katanya.